Kalaulah Allah jadikan kepala kita ini dalam bentuk yang 'transparent', aku yakin kalian akan lihat wayar-wayar yang berselirat dalam kepala 'hotak' aku sekarang. (Pernyataan yang menunjukkan bahawa aku sedang sangat tertekan). Uwaaaaa! Perkara ini membuat aku lebih tertekan daripada peningnya kepala jika hanya tinggal sehari sahaja masa yang diperlukan untuk menghantar assignment. Sebab apa? Sebab perkara ini melibatkan amanah. Ya, amanah dan juga tanggungjawab yang aku kira sangat besar dan berat untuk dilaksanakan. Tidak boleh dipandang enteng, bukan? Fahami saja maksudku dengan hadis di bawah. Sabda Rasulullah s.a.w:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ: كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَامْرَأَةُ الرَّجُلِ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، وَمَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ الرَّجُلِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، مِنْ هُنَا لَمْ يُخَرِّجَاهُ.
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. katanya, setiap kamu adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin, maka ketua negara yang memerintah adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diperintah, dan lelaki itu pemimpin terhadap keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Dan isteri seseorang lelaki (suami) itu pemimpin terhadap rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dan hamba seorang tuan adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah semua kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan. Di sinilah kedua pihak itu tidak mungkin dipisahkan.
Berat kan? Namun ramai daripada manusia kini yang semakin tidak mengendahkan perkara tersebut. Amanah tidak lagi dianggap sebagai satu perkara yang berat, dan perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Nauzubillah. Jadi, untuk apa kita menawarkan diri untuk menjadi seorang pemimpin bagi orang-orang yang kita pimpin? Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda yang maksudnya :
Akan datang selepas ku ini pemimpin-pemimpin yang suka bercakap bohong, dan suka melakukan kezaliman. Sesiapa dalam kalangan kamu yang membenarkan pembohongannya, dan menyokong kezalimannya, mempertahankan kezalimannya bersama kezalimannya, kau bukan umatku dan aku bukan Nabi kamu, dan Kamu tidak akan layak minum air Khauf Nabi Muhammad SAW.
" Hadis Riwayat At-Tarmizi Wal Hakim Wannasa'i "
MasyaAllah. Takutnya aku dengan ingatan-ingatan tersebut. Bagaimana dengan aku? Bagaimana pula dengan kalian? Aku teringat kata-kata Prof. Emeritus Abdullah Hassan ketika di dalam kelas semalam. Katanya, "Kalau kamu tidak berani untuk bercakap, diam! Tetapi jangan mengiakan apa yang tidak betul." Ya, sekurang-kurangnya kita tegah di dalam hati. Namun, perlu juga kita ingat bahawa,
Abu Said al-Khudri r.a pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesiapa yang melihat kemungkaran, dia wajib mencegahnya dengan kuasanya. Jika tidak mampu, cegahlah dengan lidahnya (nasihat). Jika tidak mampu juga, cegahlah dengan hatinya (benci dalam hati) dan cara itu (benci dalam hati) menunjukkan betapa lemahnya iman." - Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaai, Ibn Majah dan Ahmad.
Lihat? Masih banyak sebenarnya tanggungjawab kita yang belum kita laksanakan dengan baik, bukan? Tanggungjawab dengan Allah, diri sendiri, ibu bapa, masyarakat, negara, dan banyak lagi.
Apabila kita hidup di alam kampus, secara tidak langsung, kita akan terlibat dengan mana-mana organisasi samada dalam bentuk kelab, persatuan mahupun Majlis Perwakilan Pelajar. Semuanya membentuk satu organisasi yang pada asasnya membawa nama universiti. Ibarat kita membawa nama ayah kita di akhir nama. Contohnya nama aku, An Nur Farhah Amanina binti Yasin. Kemana-mana sahaja akan aku bawa nama itu. Begitu juga apabila kita menjadi pemimpin dalam mana-mana organisasi, maka adalah penting untuk kita menjaga tatacara agar tidak memburukkan nama universiti kita. Berbalik semula kepada isu pemimpin, aku agak tertarik dengan hadis ini, yang mana Rasulullah bersabda kepada Abdul Rahman (Abu Hurairah),
“Wahai Rahman, jangan kamu minta jadi pemimpin/pangkat, kalau kau minta pimpinan maka kamu akan disusahkan. Tetapi apabila kamu tidak minta jadi pemimpin tapi kamu diberi tanggungjawab maka kamu akan ditolong oleh Allah.”
Lihat? Allah sentiasa bersama kita selagi kita berniat membuat sesuatu kerana-Nya. Ayuh sahabat, kita muhasabah diri kita.
An Nur Farhah Amanina : Jangan kusut-kusut. Jangan juga berserabut. Kau ada Allah. Mintalah petunjuk dan pertolongan daripada-Nya. Kau juga ada ibu bapa. Minta restu dan doa mereka. Malah, kau juga ada sahabat-sahabat samada di alam nyata mahupun di alam maya. Maka, mintalah sokongan dan nasihat daripada mereka. Semoga kau mendapat yang terbaik dalam hidupmu. Amin.
p/s : Sejujurnya aku rasa mahu menangis saat ini! Batuan besar di atas kepala semakin hari semakin bertambah beratnya. Ya Allah!!! Betapa kerdilnya diriku!






0 biji pot-pet:
Post a Comment